Social
177

Pelakon video iklan promosi judi ditahan

Petaling Jaya – Polis mengesahkan kesemua pelakon dalam iklan raya yang mempromosikan judi secara dalam talian sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai sudah diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pelakon-pelakon dalam video berkenaan ditahan di sekitar ibu negara.

“Kesemua pelakon dalam video promosi judi secara dalam talian itu sudah ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Mereka kini ditahan di lokap Dang Wangi dan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Jelasnya, Majistret Kuala Lumpur dijangka akan datang ke IPD Dang Wangi hari ini untuk meluluskan reman ke atas mereka bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Terdahulu, satu iklan Hari Raya berdurasi 2 minit 1 saat tular di laman sosial hingga mengundang kecaman dan kemarahan netizen beragama Islam apabila mengeluarkan video mempromosikan aktiviti perjudian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tambah mengejutkan, turut kelihatan dalam video itu adalah pelakon atau model dipercayai beragama Islam yang lengkap mengenakan pakaian tradisional baju kurung dan baju Melayu.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, satu laporan polis berkaitan video tersebut telah dibuat.

Katanya, isi kandungan video itu didapati secara jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu