Nation
150

Pelaksanaan PKP seluruh negara langkah tepat : WHO

Kuala Lumpur – Keputusan untuk meletakkan Malaysia di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sekali lagi bermula esok hingga 7 Jun, adalah langkah tepat untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini yang semakin meningkat.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo berkata langkah itu penting kerana kapasiti penggunaan hospital telah mencapai tahap kritikal dengan peningkatan kes harian.

Beliau berkata rakyat Malaysia tiada pilihan selain mengehadkan kontak dalam kalangan orang ramai dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penyebaran COVID-19 pada masa ini.

“Kita melintasi garis merah apabila wad hospital dan unit rawatan rapi (ICU) sudah penuh. Apabila lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan dijangkiti, terdapat risiko sistem penjagaan kesihatan kita akan lumpuh,” katanya ketika dihubungi semasa program Mid-day Update oleh Bernama TV hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula esok selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) khas mengenai pengurusan COVID-19 yang dipengerusikannya di Putrajaya.

Dr Lo berkata orang ramai perlu menyokong langkah itu kerana ia turut dilaksanakan banyak negara untuk mencegah wabak itu.

Beliau yang turut memahami kekecewaan masyarakat untuk menyambut Aidilfitri, menegaskan bahawa ia perlu dilakukan untuk terus mengelakkan kontak.

“Sukar untuk kerajaan mengumumkan langkah drastik ini, tetapi secara jelas WHO mengesyorkan agar masyarakat menjadi sebahagian daripada langkah itu kerana kerajaan tidak mampu melakukannya sendirian.

“Perlu juga diingat bahawa situasi pandemik ini boleh berubah dengan cepat dan masyarakat perlu terus mendengar setiap arahan daripada pihak berkuasa kesihatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu terus melibatkan setiap sektor yang terbabit khususnya ekonomi, agar mereka melaksanakan langkah keselamatan dalam perniagaannya. – Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu