Nation
118

Pelaksanaan semula PdPR, ibu bapa bimbang pembelajaran anak-anak

Kuala Lumpur – Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ini, sesi persekolahan diteruskan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka untuk mengelak risiko jangkitan COVID-19 di sekolah selepas perayaan itu.

Biarpun ada ibu bapa yang lega dengan keputusan itu kerana risau untuk menghantar anak ke sekolah berikutan penularan jangkitan COVID-19, namun dalam masa sama ramai juga yang bimbang akan tahap keberkesanan pembelajaran anak-anak mereka.

Apakah pembelajaran anak-anak akan terjejas sekali lagi susulan penutupan sekolah seluruh negara selepas raya ini? Mungkin itu antara persoalan yang membelenggu ibu bapa sebaik pengumuman penutupan sekolah berikutan peningkatan kes COVID-19 di institusi pendidikan negara.

Apatah lagi pelaksanaan PdPR sebelum ini mempunyai beberapa kelemahan termasuk masalah kemiskinan digital dan kesenjangan akses kepada pendidikan dalam talian sekali gus menyebabkan ramai pelajar tercicir dalam pembelajaran terutamanya dalam kalangan golongan B40.

Bagi yang mempunyai kemudahan peranti dan akses internet pula, mereka mendakwa anak-anak mereka sukar untuk fokus sewaktu PdPR berbanding proses pembelajaran secara bersemuka di sekolah yang dirasakan lebih berkesan.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang dalam kenyataan bersama hari ini turut menekankan mengenai kegusaran banyak pihak terutama ibu bapa dan guru berhubung perkembangan pelajaran anak-anak kerana mereka mungkin ketinggalan dalam silibus akibat tidak dibenarkan ke sekolah berdasarkan keadaan pandemik yang semakin kritikal ketika ini.

Ahli Parlimen berkenaan ialah Dr Maszlee Malik (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan), Nik Nazmi Nik Ahmad, Teo Nie Ching dan Datuk Dr Hasan Baharom.

“Lebih membimbangkan, ibu bapa juga tidak tahu sejauh mana anak mereka benar-benar belajar dan menguasai topik yang diajar. Ibu bapa tidak boleh menyemak buku latihan, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak memberi panduan – secara fizikal mahupun melalui aplikasi khusus – untuk ibu bapa memantau pembelajaran dan perkembangan anak-anak,” demikian menurut kenyataan itu.

Mereka berpendapat KPM seharusnya menyediakan bahan-bahan pembelajaran kendiri kepada murid dengan pedagogi yang baharu dan fleksibel bagi menangani masalah keciciran pelajaran.

Selain itu, mereka berkata situasi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini lebih membimbangkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang ketika mereka berada di Tingkatan 4 tahun lepas dan Tingkatan 5 tahun ini telah menjejaskan prestasi dan pembelajaran mereka.

Menurut mereka, jika pelajar SPM tahun lepas hanya terjejas dengan pembelajaran Tingkatan 5 sahaja, bagi tahun ini pula mereka kehilangan dua tahun pembelajaran akibat PdPR terbaharu ini.

“Maka, penguasaan pelajar SPM tahun ini berhubung subjek Tingkatan 4 dan 5 amat terjejas dan adalah lemah. Pihak KPM sepatutnya mengurangkan topik subjek sesuai dengan tempoh pembelajaran mereka yang sebenar. Hakikatnya, semasa mereka berada di Tingkatan 4 tahun lalu, tiada PdPR yang tersusun, dan mereka seolah-olah kehilangan setahun pembelajaran,” kata mereka.

Dalam pada itu, mereka mencadangkan KPM menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti sekolah yang sesuai ditutup atau tidak.

“Bagi kawasan pedalaman dan luar bandar yang jauh dari jangkitan dan tiada kes serta pergerakan keluar dan masuk, KPM sepatutnya membenarkan sekolah-sekolah terus dibuka, terutama kerana capaian internet tidak mencukupi untuk mereka menjalani PdPR,” katanya.

Sementara itu, Dr Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kaedah PdPR seharusnya dijalankan dalam pelbagai bentuk dan tidak hanya tertumpu secara dalam talian.

Ini kerana, menurutnya berdasarkan kajian yang dilakukan hampir 60 peratus pelajar tidak mempunyai kemudahan internet dan peranti.

Beliau berkata semua guru sepatutnya sudah mempunyai pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk penutupan sekolah.

“Maksudnya kalau sekolah nak tutup 10 hari, semua guru dah ada set PdPR nota kalau berlaku sekolah ditutup. Pihak sekolah kena bersedia dan fotostat siap-siap, kalau sekolah ditutup terus edar nota tersebut. Kalau hari ini ditutup, esok dah kena edar kepada pelajar.

“Kalau kawasan sekolah yang ada internet dan pelajar berkemampuan, boleh guna secara dalam talian. Ini bagi mereka yang tidak ada internet atau tidak berkemampuan. Jadi, bila nota diedarkan, pelajar akan buat latihan dan teruskan pembelajaran walaupun mereka berada di rumah,” katanya.

Selain itu, Anuar berkata kaedah pembelajaran menerusi televisyen dan radio seperti DidikTV juga perlu diperkemas dan diperluaskan supaya ia digunakan secara optimum.

“Satu lagi kaedah ialah program ‘outreach’ di mana guru pergi kepada masyarakat. Guru tidak tunggu pelajar datang ke sekolah sebaliknya guru sendiri yang datang kepada pelajar.

“Guru di Sabah dan Sarawak banyak menggunakan pendekatan ini. Bila guru datang ke rumah, pelajar akan beritahu kawan yang duduk berhampiran datang belajar sekali di rumah,” katanya. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu