Nation
242

Pelan Pemulihan Negara tidak dilaksana tergesa-gesa : Saifuddin

Kuantan – Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lepas, bukan dirangka secara tiba-tiba atau dilaksana tergesa-gesa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Sebaliknya, beliau berkata pelan yang melibatkan empat fasa bermula Jun hingga hujung tahun ini adalah perancangan teliti dan lanjutan daripada pelaksanaan pelbagai program oleh kerajaan sejak negara berdepan pandemik COVID-19 pada awal tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata nilai ambang tiga kriteria utama sebagai unjuran peralihan fasa dalam pelan tersebut iaitu purata kes harian, penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi membolehkan pendekatan dan strategi sesuai dilaksanakan bersesuaian dengan situasi semasa.

“Dari segi perancangan, kita masih kekal dengan kerangka menyeimbangkan antara kesihatan dan kelangsungan hidup dan pendirian itu tidak berubah sejak Mac 2020 hingga sekarang, cuma suasana semasa Perintah Kawalan Pergerakan pertama memerlukan strategi berbeza daripada suasana sekarang.

“Begitu juga dalam komponen ekonomi… ini bukan hanya difikirkan beberapa hari sebelum pengumuman dibuat dan ia masih berada dalam kerangka Strategi Pemulihan Ekonomi Negara 6R yang dibentangkan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) sebelum ini,” katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Saifuddin berkata kerangka dan pelan berteraskan kesimbangan kesihatan dan kelangsungan hidup itu juga menjadi teras kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif membantu rakyat sejak 2020, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Selain itu, perancangan dan pendekatan strategik kerajaan menangani COVID-19 berdasarkan data dan sains menurut Saifuddin, juga mengelak sistem kesihatan daripada lumpuh mengambil kira jangkaan kes positif boleh mencapai 15,000 kes pertengahan bulan ini, jika sekatan pergerakan penuh fasa pertama tidak dikuatkuasakan.

“Setiap angka kita gunakan sejak awal pandemik bermula termasuk kes harian COVID-19 juga adalah angka yang benar dan sahih, bukan dibuat atau dicipta kerana kerajaan bersikap ‘transparent’ dan tidak simpan apa-apa angka sekalipun,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut optimis setiap fasa Pelan Pemulihan Negara boleh dicapai mengikut jadual dengan syarat ia mendapat kerjasama semua pihak melibatkan kerajaan, swasta dan rakyat kerana indikator tiga nilai ambang setiap peringkat perlu dicapai serentak sebelum boleh memasuki fasa seterusnya.

Mengulas lanjut, beliau turut merujuk kepada pelbagai usaha kerajaan meningkatan kadar vaksinasi seperti Kementerian Wilayah Persekutuan mewujudkan pusat pemberian vaksin bergerak di perumahan rakyat dan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 juga bertungkus-lumus meningkatkan jumlah mereka diberi vaksin dengan pelbagai program outreach di kawasan tumpuan ramai termasuk di masjid dan kawasan pedalaman… ini semua penting untuk kita mencapai nilai ambang ditetapkan.

“Namun kita juga memerlukan kerjasama rakyat untuk mendaftar dan bersetuju menerima vaksin selain terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana jika jumlah kes harian meningkat, kita tidak boleh bergerak ke fasa seterusnya walaupun kadar vaksinasi memenuhi nilai ambang,” katanya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu