Nation
211

Pelantikan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara satu amanah teruskan usaha pulih negara daripada Covid-19 : Muhyiddin

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap kepercayaan yang diberi kerajaan dengan melantiknya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri adalah satu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.

Muhyiddin dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya berkata beliau dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan membantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan.

“Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik,” katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada Rabu.

Muhyiddin turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya perdana menteri dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan itu.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu