Kuala Lumpur Post

Social

Pelarasan gaji penjawat awam dijangka mengurangkan trend guru bersara awal

KUALA LUMPUR — Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik dijangka mengurangkan trend guru bersara awal pada masa kini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pengumuman itu satu hadiah yang sangat besar untuk guru yang kini berdepan dengan cabaran besar dalam mendidik anak bangsa serta cabaran kos sara hidup.

“Guru kini bukan sahaja menikmati kenaikan gaji tahunan, tetapi dengan pelarasan gaji ini, tambahan kenaikan gaji turut diberikan.

“Selepas 12 tahun tanpa semakan, pelaksanaan SSPA bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) satu hadiah yang sangat bermakna buat guru.

“Saya percaya langkah ini juga dapat mengurangkan trend guru bersara awal, dan mendorong guru memberikan perkhidmatan terbaik sebagai tanda penghargaan atas apa yang diberikan kerajaan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pelarasan yang akan dibuat secara berfasa itu dijangka membolehkan guru menikmati kenaikan ketara pada Fasa 1 pelaksanaannya Disember ini.

“Ini memang memberikan kelegaan kepada guru. Guru juga pengguna. Dalam Fasa 2 pelarasan gaji, kita akan melihat tambahan kenaikan, selain daripada kenaikan gaji tahunan.

“Pelaksanaan secara berfasa ini pendekatan yang wajar oleh kerajaan, dan tempoh untuk menikmati kenaikan gaji tidak terlalu lama,” katanya

Aminuddin, dalam pada itu berharap agar perincian yang lebih lengkap mengenai pelaksanaan sistem SSPA secara keseluruhannya dapat diberikan.

“Secara umumnya, kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman ini, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15 peratus bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional, serta tujuh peratus bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

“Secara asasnya, kita baru dimaklumkan mengenai kenaikan gaji, tetapi perincian lengkap tentang sistem itu masih belum dikemuka. Oleh itu, kami berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan dan manfaat SSPA kepada penjawat awam,” katanya.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.