Kuala Lumpur Post

Nation

Pelbagai inisiatif, insentif menerusi Belanjawan 2024 bakal manfaatkan rakyat tahun ini : Pakar

KUALA LUMPUR — Pelbagai inisiatif dan insentif bakal dinikmati rakyat tahun ini seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2024 yang memberi tumpuan kepada melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pakar Geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, berkata pelbagai insentif untuk seluruh rakyat disalurkan menerusi Belanjawan 2024, malah beliau menyifatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebagai insentif yang paling memberi manfaat kepada rakyat.

“Rakyat pada ketika ini memerlukan wang tunai untuk berbelanja (apabila menerima STR) barangan keperluan mereka sebab itu saya lihat STR adalah insentif paling efektif, sekali gus selari dengan tema Belanjawan 2024 dalam memperkasakan rakyat.

Daripada konteks memperkukuhkan ekonomi pula, apabila rakyat menerima STR maka mereka akan berbelanja sekali gus menjadikan permintaan kepada barangan dan kitaran ekonomi lebih baik dan sihat,” kata Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research itu ketika dihubungi Bernama.

Sekiranya ekonomi pada tahun ini berada pada tahap lebih baik berbanding tahun lepas, justeru Azmi berharap supaya jumlah STR dapat dinaikkan untuk terus membantu meringankan beban rakyat.

Menerusi Belanjawan 2024, kadar maksimum bantuan STR dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini, selain kadar minimum STR bagi golongan belia turut meningkatdaripada RM350 kepada RM500.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata Belanjawan 2024 menumpukan kepada dasar atau polisi fiskal kerajaan dalam usaha meningkatkan ekonomi domestik untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus bagi tahun ini.

“Jadi Belanjawan 2024 disusun adalah untuk menumpukan pertumbuhan ekonomi domestik seperti menyalurkan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan bantuan menangani kos sara hidup rakyat antaranya melalui penyaluran bantuan tunai yang akan memberikan suntikan ekonomi secara langsung kepada ekonomi domestik,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar dengan PADU menjadi mekanismenya dilihat mampu mengurangkan pembaziran dan penjimatan yang ada dapat disalurkan secara adil dan saksama kepada warganegara Malaysia yang lebih layak.

Kerajaan akan memperkenalkan Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok bagi memastikan golongan sasar menikmati segala manfaat yang diperkenalkan kerajaan.

“Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan subsidi bersasar secara berperingkat bermula dengan kuota Haji dan tarif elektrik kediaman dan komersial pada tahun lepas dan memasuki tahun 2024, subsidi bersasar akan terus dilaksanakan kepada barang-barang keperluan lain.

“Ini menunjukkan komitmen yang tinggi kerajaan bukan sahaja dalam menyusun semula rangkaian nilai bekalan tetapi turut merungkai penguasaan kartel yang berkaitan serta aktiviti penyeludupan yang berleluasa,” kata Aimi Zulhazmi.

Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Oktober lalu, pelbagai insentif bakal dinikmati rakyat termasuk Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 kepada setiap penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, merupakan antara insentif yang dinantikan rakyat.

Bukan itu sahaja, bayaran insentif RM1,000 turut diberikan kepada setiap Jawatan Utama Sektor Awam bagi anggota beruniform. Kadar yang sama iaitu RM1,000 turut dinikmati setiap pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen sekali gus menjadi insentif tertinggi yang pernah diterima golongan ini.

Kerajaan turut menetapkan yuran pendaftaran memasuki universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula bulan ini dan bagi pelajar yang tidak mampu membuat bayaran, mereka tidak akan disekat mendaftar subjek setiap semester.

Golongan orang kurang upaya (OKU) juga terus dilindungi, antara lain kerajaan menyediakan RM1.2 bilion untuk disalurkan melalui pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya bekerja dan elaun pekerja OKU di bawah Belanjawan 2024.

Tags: , ,