Social
338

Pelitup muka jenama tiruan dirampas

Johor Bahru – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas 112,350 unit pelitup muka disyaki berjenama tiruan bernilai RM60,669 di sekitar Taman Sentosa dan Tebrau, di sini, semalam.

Pengarahnya Mohd Hairul Anuar Bohro berkata pelitup muka tiruan berjenama Neutrovis itu dirampas menerusi satu operasi khas ke atas tiga kedai menjual pelbagai jenis pelitup muka.

Beliau berkata operasi bermula pada 2 petang melibatkan 10 anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang itu dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan.

“Disyaki mereka yang terlibat menjual pelitup muka itu turut menjadikan rumah sebagai tempat menjalankan aktiviti penyimpanan dan pengedaran stok bagi kesemua pelitup muka yang dirampas.

“Tindakan kes diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hairul Anuar berkata sekiranya didapati bersalah, syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 bagi suatu pertubuhan perbadanan.

Beliau berkata bagi kesalahan individu pula boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP Johor akan terus bekerjasama dengan pemilik cap dagang dan agensi-agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna dan hak harta intelek milik industri.

“Peniaga juga diberi amaran supaya tidak menjalankan urusniaga dengan menggunakan perihal dagangan palsu atau barangan tiruan kerana pihak KPDNHEP Johor sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan yang dilakukan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu