Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Peluang bayar balik pinjaman PTPTN menerusi tawaran menarik insentif diskaun

Kuala Lumpur – Tiga insentif pemberian diskaun kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 disambut baik apabila rata-ratanya mengambil pendekatan itu untuk melangsaikan baki pinjaman yang tertunggak.

Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad di Johor Bahru, Noor Azeera Md Ali, 34, berkata pengumuman itu merupakan berita gembira buatnya kerana beliau sudah lama berazam menyelesaikan pinjaman itu yang berjumlah kira-kira RM15,000 ketika melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Akauntansi di Politeknik Merlimau, Melaka selama tiga tahun pada 2006.

Katanya walaupun mengambil inisiatif untuk membuat potongan gaji sebanyak RM160 setiap bulan sejak 2015 namun beliau segera merebut peluang untuk melunaskan baki pinjaman yang berjumlah RM8,146.20 dengan insentif diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Lebih menggembirakan, beliau hanya perlu membayar sebanyak RM6,924.27 iaitu pengurangan sehingga kira-kira RM1,200 menggunakan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Selepas mendengar pembentangan belanjawan, saya terus buat keputusan pada pertengahan November untuk berurusan dengan pegawai PTPTN mengenai tatacara bayaran dan memohon pengeluaran Akaun 2 KWSP secara dalam talian.

“Dalam tempoh seminggu sahaja, semuanya selesai malahan mendapat pulangan lebihan bayaran lagi kira-kira RM50,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 29 Okt lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bersetuju memberi diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 Nov lepas hingga 30 April 2022.

Tengku Zafrul berkata ia meliputi diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman serta diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Katanya diskaun 10 peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Noor Azeera, yang juga ibu kepada tiga anak berusia dua hingga lapan tahun, berkata setelah menyelesaikan keseluruhan baki pinjaman, kini beliau boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu memikirkan hutang PTPTN yang sepatutnya berbaki lapan tahun lagi.

“Selepas ini, saya dan suami hanya perlu menumpukan kepada komitmen bayaran yang lain,” katanya sambil menambah peminjam lain tidak perlu menunggu sehingga saat-saat akhir tempoh diskaun diberikan untuk melangsaikan tunggakan pinjaman.

Seorang jurubank peribadi Lim Yong Qing, 24, yang bertugas di RHB Bank, Batu Pahat, Johor turut tidak melepaskan peluang untuk menikmati insentif itu dan berasa lega kerana tidak perlu lagi memikirkan hutang pengajian.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah itu berkata beliau membuat pinjaman PTPTN berjumlah kira-kira RM14,000 pada 2017 dan baru sahaja menamatkan pengajian tahun lepas.

“Saya sebelum ini sudah menyelesaikan separuh daripada pinjaman dan mengambil peluang ini dengan menyelesaikan keseluruhan pinjaman menggunakan wang sendiri yang disimpan ketika bekerja sambilan sebelum menyambung pelajaran,” katanya.

Beliau turut meminta peminjam lain agar segera menyelesaikan baki pinjaman bagi membantu kelestarian generasi akan datang, lapor Bernama.

Tags: ,