Nation
501

Pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing libat TMJ disiasat

Johor Bahru – Polis Johor melakukan siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang dipercayai palsu dan melibatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan dijalankan susulan polis menerima laporan berhubung dokumen berkenaan daripada Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor pada 7 malam, semalam.

Katanya, dokumen itu didapati telah dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan yang bergelar Datuk Seri.

“Wanita terbabit mendakwa menerima mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan pertukaran mata wang 200 bilion sehingga 5 trilion Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia.

“Urusan tersebut didapati turut melibatkan satu akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata hasil siasatan menerusi laman web www.istiadat.gov.my mendapati, wanita terbabit tidak berdaftar sebagai Datuk Seri dan merupakan individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan Draf Bank Of Tokyo pada 2011.

Menurutnya, selain wanita terbabit, kes dipercayai turut melibatkan seorang lelaki tempatan iaitu seorang peguam yang merupakan proksi berkaitan dokumen berkenaan.

Ayob Khan menjelaskan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan sebarang penipuan, lapor Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu