Kuala Lumpur Post

Social

Pemandu bas hisap rokok ketika isi minyak dilapor kepada KPDN

PETALING JAYA — Tindakan seorang pemandu bas persiaran yang dilihat mengisi minyak sambil merokok di sebuah stesen minyak dalam sebuah video tular sudah diadukan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Polis Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir dalam satu kenyataan berkata semakan mendapati insiden itu berlaku di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Behrang pada Ahad lepas.

“Pemilik stesen minyak telah membuat aduan terus kepada KPDN yang bertanggungjawab bagi mengambil tindakan atas perbuatan yang dilakukan oleh pengguna tersebut.

“Kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak merokok di kawasan larangan terutama stesen minyak yang boleh menyebabkan kecederaan, bencana dan membahayakan nyawa orang ramai.

Terdahulu, tular video berdurasi 57 saat memaparkan seorang lelaki menghisap rokok sambil mengisi minyak sebuah bas hingga mencetuskan kemarahan pengguna media sosial.