Nation
149

Pemandu bas yang bekerja sendiri wajib daftar Perkeso

Putrajaya – Semua pemandu bas yang bekerja sendiri diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Pemandu Bas) (Pindaan) 2021.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, pemandu bas boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Saravanan berkata sehingga semalam, seramai 81,331 pencarum aktif yang bekerja sendiri direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS Perkeso, termasuk 1,346 pemandu bas.

Sehingga kini, katanya sebanyak RM2.35 juta faedah SKSPS telah dibayar kepada orang bekerja sendiri termasuk orang tanggungan mereka apabila pencarum mengalami kemalangan atau meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

“Selaku menteri bertanggungjawab, saya ingin menyeru semua pemandu bas serta orang bekerja sendiri yang layak agar segera mendaftar dan mencarum bagi memastikan anda mendapat perlindungan di bawah SKSPS,” katanya.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu