Social
222

Pemandu jengkaut didakwa bunuh isteri

Kota Tinggi – Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh isteri yang dilaporkan sedang tidur menggunakan senapang angin di rumahnya di Taman Sri Saujana, di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Hanafi Patahur Rahim, 43, mengangguk dan menjawab “faham” selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada bapa empat anak itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana di sini pada jam 3.30 pagi, 1 Mac lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes, bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di sini, Hanafi dihukum penjara berjumlah 20 tahun terhadap empat pertuduhan iaitu memilik dua laras senapang dan 64 butir peluru tanpa lesen.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua empat pertuduhan itu dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap iaitu 2 Mac lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Hanafi dikenakan hukuman penjara lima tahun, pertuduhan kedua (4 tahun), pertuduhan ketiga (enam tahun) dan lima tahun bagi pertuduhan keempat. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu