Social
788

Pemandu kereta rempuh kenderaan untuk larikan diri

Kuala Lumpur – Satu video menunjukkan pemandu kereta Proton Waja, merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, untuk melarikan diri dari polis menjadi tular tengah hari tadi.

Video berdurasi satu minit 45 saat itu menunjukkan dua anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kenderaan.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran MAS175 itu dilihat melanggar bahagian belakang di lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Selepas gagal untuk mencelah di antara dua kenderaan di hadapannya, suspek kemudian mengundurkan kereta ke belakang dan melanggar kereta lain.

Bagaimanapun selepas beberapa kali merempuh dua kenderaan di hadapannya, suspek akhirnya berjaya memecut kenderaannya.

Kejadian yang dipercayai berlaku antara jam 12.50 tengah hari hingga jam 1 tengah hari tadi dirakam oleh pengguna jalan raya lain yang turut berada di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, mengesahkan kejadian itu berlaku di bawah bidang kuasa Balai Polis Sri Damansara, di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, namun anggota polis yang mengejar suspek dari IPD Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian yang tular itu dalam masa terdekat. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu