Social
199

Pemandu kereta Satria cuba rempuh polis

Petaling Jaya – Tindakan pemandu kereta Proton Satria cuba merempuh anggota polis yang sedang bertugas telah mendorong pihak berkuasa untuk melepaskan satu das tembakan dalam kejadian di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara Utama, di sini semalam.

Kejadian berlaku ketika polis dari Balai Polis Damansara mengejar kereta berkenaan di Jalan Anggerik, Kampung Sungai Kayu Ara kira-kira pukul 2.25 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan pada bahagian tayar hadapan sebelah kanan kereta itu kerana pemandunya telah bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota bertugas.

“Ketika polis mengejar kenderaan itu, suspek juga telah bertindak memandu melawan arus di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran sebuah gereja di SS25.

“Suspek kemudiannya keluar daripada kereta dan melarikan diri melalui longkang berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pihak polis telah melakukan pemeriksaan terhadap kereta yang ditinggalkan suspek dan menemui pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pecah cermin kereta.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kita percaya suspek masih berada di dalam daerah ini,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adam Firdauz Ahmad di talian 012-7565464 untuk tindakan lanjut. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu