Social
272

Pemandu lawan arus didakwa menyebabkan kematian 2 remaja

Shah Alam – Lelaki yang memandu kenderaan melawan arus di Lebuhraya Persekutuan sehingga menyebabkan kematian dua remaja pada 12 September lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, K Devaaswin, 24, mengangguk tanda faham terhadap dua pertuduhan menyebabkan kematian yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, Devaaswin yang bekerja sebagai pegawai pemasaran pengangkutan sebuah syarikat swasta didakwa melakukan bunuh terhadap Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18.

Justeru, dia didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tertuduh didakwa melakukan perkara itu sekitar jam 1.50 pagi pada 12 September di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili Peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan semula dalam tempoh sebulan dari hari ini bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat, laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta lain-lain dokumen bagi tujuan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Pihak pembelaan pula memohon mahkamah mengeluarkan arahan kepada pihak polis dan penjara supaya tertuduh di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kecederaan pada bahagian belakang dan mata kanan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 21 Oktober ini.

Dalam kejadian pada 12 September lalu, Muhammad Hafiz Syami dan Nur Afiqah maut selepas kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dinaiki mereka bertembung dengan pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus oleh Devaaswin.

Hasil ujian air kencing mendapati Devaaswin memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah jenis ganja, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu