Kuala Lumpur Post

Social

Pemandu lori didakwa bunuh anak saudara berusia 18 bulan

PETALING JAYA — Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh anak saudara berusia 18 bulan dalam kejadian kira-kira dua minggu lalu.

M Kesigan, 28, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh kanak-kanak lelaki, T Hudesh, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya, pada jam 11.15 malam, 24 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Khairun Nisa Noor Harun, tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes bagi perkembangan laporan kimia dan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan budak lelaki itu maut dipercayai akibat didera ketika dalam jagaan ibu bapa saudaranya.

Namun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, mengesahkan hanya lelaki itu akan didakwa.

Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam oleh bapa saudaranya.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu.