Social
249

Pemandu lori maut ditikam rakan

Nibong Tebal – Seorang pemandu lori maut akibat kena tujuh tikaman di belakang badan ketika cuba menghalang rakan daripada memukul dan mencederakan isterinya di sebuah rumah pangsa dekat Taman Desa Jawi di sini, awal pagi tadi.

Sebelum kejadian serangan jam 3.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 35 tahun dan rakannya, seorang pengutip buah sawit berusia 27 tahun dikatakan minum sehingga mabuk di luar rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata siasatan mendapati, ketika hendak pulang ke rumah masing-masing, pengutip buah sawit dikatakan membuat bising sehingga isterinya berusia 23 tahun keluar lalu menegurnya.

“Teguran itu tidak dapat diterima suspek yang kemudian memarahi dan memukul isterinya di ruang tamu sebelum dia mengambil dua anaknya lalu dibawa masuk ke bilik.

Mangsa yang ketika itu berada bersama suspek meminta lelaki itu menghentikan perbuatannya, namun suspek enggan lalu turut memarahi mangsa dan menikam belakang badan mangsa beberapa kali dengan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kejadian itu turut disaksikan seorang penyewa bilik wanita berusia 50 tahun yang terdengar bunyi jeritan. Wanita itu bersama isteri suspek cuba menghalang perbuatan lelaki itu menikam mangsa, namun turut cedera di lengan akibat terkena pisau.

“Mangsa yang parah meminta pertolongan saksi untuk menghubungi ambulans, namun petugas Hospital Sungai Bakap (HSB) yang tiba jam 7.15 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Isteri suspek dan saksi yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan ” katanya.

Polis merampas sebilah pisau yang digunakan suspek dalam kejadian itu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu