Social
275

Pemandu mabuk punca nahas 5 kenderaan

Ampang – Tindakan seorang peniaga memandu dalam keadaan mabuk menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Mewah 2/3 Pandan Mewah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, kemalangan jam 7 malam itu membabitkan Toyota Hilux, Perodua Bezza, Proton Saga, Volkswagen Beetle dan Proton Wira.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dari arah Taman Putra membelok ke Jalan Mewah 2/3.

“Kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Perodua Bezza di petak parkir di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed berkata, akibat pelanggaran itu menyebabkan Toyota Hilux merempuh hadapan Proton Saga yang sedang mengekori di sebelah kanan.

“Toyota Hilux terbabit kemudian naik ke bonet hadapan kereta yang dilanggar dan masuk ke laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan pelanggaran seterusnya dengan Volkswagen Beetle dari sisi kanan.

“Pelanggaran itu Volkswagen Beetle terbabit terbabas ke kiri jalan dan melanggar Proton Wira di petak parkir tepi jalan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu Volkswagen Beetle cedera di dada dan dikejarkan ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di wad Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan saksi kemalangan itu sedang dikesan,” katanya.

Katanya, hasil ujian saringan terhadap pemandu Toyota Hilux mendapati tahap kandungan alkohol melebihi had ditetapkan, manakala ujian air kencing pula didapati negatif dadah.

“Pemandu Toyota Hilux itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadapnya akan dijalankan di Mahkamah Majistret Ampang, esok.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348 bagi membantu siasatan,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu