Social
224

Pemandu Myvi cetus provokasi ditahan semula berhubung kes curi kenderaan

KUALA LUMPUR — Pemandu kereta Perodua Myvi yang ditahan kerana melakukan provokasi serta menghalang pemandu lain di jalan raya Isnin lepas ditahan semula berhubung kes mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan semalam pada 4.05 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul.

“Penangkapan pemandu kereta Perodua Myvi itu berjaya menyelesaikan kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor,” menurutnya dalam kenyataan.

Susulan penangkapan itu, polis telah merampas satu kunci kereta berlambang Perodua bersama alat kawalan jauh, sebuah kereta Perodua Myvi putih bernombor pendaftaran PGT124 yang disahkan palsu dan sebilah rotan berukuran 90 sentimeter.

Polis turut merampas dua rangkai kunci motosikal berlambang Yamaha dan tiga motosikal dengan nombor pendaftaran palsu iaitu Yamaha Ego Avantiz (JFV124), Yamaha Nouvo LC (MALAYSIA124) dan KTM 790 Adventure (QQ124) serta serangkai kunci berlambang KTM.

Beh berkata lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Isnin lepas, pemandu terbabit ditahan selepas tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat dimuat naik melalui laman Facebook ‘Inforoadblock’ memaparkan kejadian memandu secara berbahaya dan ugutan menggunakan sebatang kayu di Jalan MRR2 berhampiran Taman Layang-Layang di sini, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu