Kuala Lumpur Post

Social

Pemandu teksi memandu lawan arus disiasat

SERDANG — Pemandu teksi berusia 70 tahun memandu melawan arus sejauh 40 meter kelmarin sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain disiasat polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang apabila teksi itu melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Putra Permai (AEON Taman Equine) Seri Kembangan, di sini.

Menurutnya, video berdurasi 11 saat itu turut tular di laman sosial media di mana siasatan awal mendapati pemandu teksi itu mengambil tiga penumpang di sebuah kondominium berhadapan AEON Taman Equine hendak menuju ke Maybank Taman Equine.

“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu teksi melalui laluan bertentangan tanpa membuat pusingan di bulatan Persiaran Pinggiran Putra 2.

“Pemandu terbabit melawan arus sekitar 40 meter dan seterusnya membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat menuju ke Maybank Taman Equine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa).1

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap pemandu teksi dan hasil keputusan ujian adalah negatif,” katanya, lapor Harian Metro.

Tags: , , , ,