Social
165

Pemandu treler langgar jejambat direman 4 hari

Kuala Lumpur – Pemandu treler yang melanggar perancah besi struktur binaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam, ditahan reman empat hari selepas didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata reman terhadap pemandu berusia 40 tahun itu diperoleh bermula hari ini sehingga 7 Mac ini.

“Dia ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan direman bermula 4 hingga 7 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Pemandu lori yang beralamat di Sungai Siput Utara, Perak, dibawa oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk ujian air kencing selepas kemalangan membabitkan treler dipandunya berlaku di Lebuhraya MRR2, berhampiran Desa Tun Razak, di sini.

Akibat pelanggaran itu, struktur besi pembinaan Lebuhraya SUKE, runtuh dan menghempap sebuah van dinaiki empat pekerja kilang dan seorang pemandu van.

Dua pekerja kilang Sensata Technologies, di USJ 1, Subang Jaya, Norhayati Abdullah, 42, dan Nurina Edwin Abdullah, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi pekerja kilang Zakiyyah Yakop, 51, dan rakannya Zaitun Zainal, 54, mengalami kecederaan pada betis dan kaki kiri, manakala pemandu van Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, patah tulang bahu kiri, bengkak paru-paru dan mengalami pendarahan dalaman.

Ketiga-tiga mangsa dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, di sini. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu