Nation
380

Pembahagian Masa yang Betul Kunci Kejayaan Raveena Vaidheswary

Bangi, 5 April 2021 – “Kejayaan saya pada hari ini akan menjadi sumber inspirasi kepada adik-adik saya untuk turut sama melakar kejayaan,” kata Raveena Vaidheswary a/p Muralitharan yang merangkul Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis konvokesyen UKM Ke-48.

Beliau yang merupakan graduan program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) berkata cara pembahagian masa yang betul adalah kunci kejayaannya.

“Kita tidak boleh hanya fokus kepada pelajaran sahaja kerana kita akan rasa letih. Jadi, sebagai seorang pelajar, kita kenalah pandai membahagikan masa seperti memperuntukkan masa untuk belajar, bermain, beriadah, keluar dengan kawan dan sebagainya,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata ibu bapa merupakan pendorong utama kejayaan beliau.

“Jika bukan kerana doa mereka (ibu bapa), mungkin saya tidak dapat menyambung pelajaran disini,” ujarnya.

Selama empat tahun di UKM, Raveena Vaidheswary belajar pelbagai perkara seperti kemahiran memimpin, cara pengurusan organisasi, kemahiran berkomunikasi, menyertai pelbagai program dan berpersatuan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pensyarah – pensyarah di FSK yang sentiasa menyokong dan membantu beliau.

“Mereka dapat melihat bakat saya dan sering mengajak saya untuk menyertai pelbagai program termasuklah program di peringkat antarabangsa bagi kategori kepimpinan. Disitulah bakat saya mula dilihat,” katanya.

Bercerita lanjut tentang kejayaannya, beliau berkata setiap yang dilakukan tidak semestinya akan berjaya.

“Namun, kita perlu jadikan kegagalan itu sebagai semangat untuk kita lakukan yang terbaik sehingga kita berjaya kerana kegagalan dan kekecewaan itu merupakan permulaan untuk kita menuju kejayaan,” ujarnya.

Kini, Raveena Vaidheswary sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (Phd) Fast Track (saluran laluan pantas) di UKM dalam bidang yang sama. -ukm.my

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu