Social
60

Pembantu audit didakwa muat naik komen berunsur gangguan seksual di WhatsApp

Petaling Jaya – Seorang pembantu audit di sebuah syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas pertuduhan menggunakan aplikasi WhatsApp secara tidak wajar dengan memuat naik komen berunsur gangguan seksual tahun lepas.

J.Gajanayagam, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri Taman Universiti Indah, Seri Kembangan di sini pada 1.27 petang 24 Dis 2020 mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farahin Shapri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga.

Sementara itu, di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Gajanayagam juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 28 tahun dengan menghantar WhatsApp berunsurkan gangguan seksual di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua kes.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu