Social
238

Pembantu rumah didera majikan

Bukit Mertajam – Polis menyelamatkan seorang pembantu rumah wanita warga Kemboja dipercayai didera majikannya di sebuah kediaman dekat Jalan Perpaduan Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah , Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan orang awam pada jam 9.30 malam berhubung insiden itu.

“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman itu sebelum menemui seorang wanita warga Kemboja berusia lingkungan 30-an berada di atas lantai dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

“Terdapat beberapa kesan kecederaan fizikal pada bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan dan beberapa kesan calar di badan serta kaki mangsa.

“Mangsa mengadu di dera majikannya dengan dipukul, disimbah air panas dan dicubit. Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, mangsa memaklumkan dia bekerja dengan sepasang suami isteri di rumah terbabit sejak dua tahun lalu.

“Susulan insiden ini, sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu