Social
576
0

Pembantu tadbir didakwa buat tuntutan palsu

Johor Bahru – Seorang pembantu tadbir di Pejabat Kadi Daerah Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 21 tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM16,800, enam tahun lalu.

Norazah Abd Aziz, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Pengkeranian/Operasi Gred N17 di Pejabat Kadi Daerah Kluang didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan membuat tuntutan palsu menerusi Borang Tuntutan Sagu Hati Mengajar Di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid Dan Surau berjumlah RM800 setiap satu selama 21 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada Januari hingga Disember 2015 dan Januari hingga September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Norbaya Aman.

Terdahulu, Nur Mahirah menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan tertuduh mengalami masalah kewangan, selain perlu menyara anak yang melanjutkan pengajian di sebuah kolej.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac ini untuk serahan dokumen. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu