Social
261

Pembantu tadbir didakwa rasuah, salah guna jawatan

Labuan – Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menganugerahkan kontrak pembekalan kepada syarikat milik isterinya, tiga tahun lepas.

Junaidih Awang, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya selaku pembantu tadbir kewangan untuk menerima rasuah sebagai dorongan bagi menganugerahkan kontrak membekalkan makanan dan minuman untuk pejabatnya kepada Aiza Azha Enterprise, melibatkan jumlah RM7,209.25 pada 8 April 2018.

Dia juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM4,542.50 sebagai dorongan untuk menganugerahkan kontrak bekalan alat ganti bagi kegunaan pejabatnya sendiri kepada syarikat sama, pada 4 April 2018.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Kerja Raya Labuan dan dia dituduh menurut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Labuan dua kali sebulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 19-20 Ogos depan untuk sebutan semula. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu