Social
885
0

Pembedahan punggung bawa padah

Mexico City – Seorang selebriti Instagram di Amerika Syarikat yang menerima jolokan ‘Kim Kardashian Mexico’ maut selepas menjalani pembedahan untuk menegangkan punggungnya di Colombia.

Joselyn Cano, 30, dilaporkan meninggal dunia pada minggu lalu selepas video pengebumiannya dipaparkan oleh sebuah rumah pengebumian di YouTube.

Bagaimanapun, menurut New York Post, kematian selebriti yang mempunyai hampir 13 juta pengikut di Instagram itu masih belum disahkan keluarga wanita berkenaan.

Kebiasaannya wanita itu akan mengemas kini akaun Instagramnya sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh satu minggu.

Namun, hantaran (posting) terakhirnya adalah pada 7 Disember lalu.

Joselyn yang juga pereka pakaian renang dan penuntut bidang Mikrobiologi di San Diego State University didakwa pergi ke Colombia untuk pembedahan plastik pada awal bulan ini.

Wanita itu dikatakan menjalani prosedur Brazilian butt lift iaitu lemak dari pelbagai bahagian anggota badan akan ditambah ke punggungnya.

Berdasarkan statistik Persatuan Pakar Bedah Amerika Syarikat pada 2015, prosedur itu amat popular dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa langkah menyuntik lemak ke punggung boleh menyebabkan komplikasi jika dilakukan dengan tidak betul.

Ini termasuk embolisme lemak iaitu lemak secara tidak sengaja memasuki aliran darah dan menyekat saluran darah.

Persatuan itu juga menganggarkan bahawa satu daripada 3,000 orang yang menjalani prosedur sama meninggal dunia akibat kesan pembedahan berkenaan. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu