Nation
147

Pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja di Malaysia antara terpantas di dunia

Kuala Lumpur – Malaysia menjadi antara negara yang memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja terpantas di dunia, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata 80 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer dalam masa kurang dari dua bulan.

“Satu daripada pemberian vaksin COVID-19 kepada remaja yang terpantas di dunia.

“Terima kasih, @DrNoorAzmi (Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali), @DrMahHS (Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon) dan semua di CITF-A (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Remaja). #LindungDiriLindungSemua,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.

Dr Noor Azmi merupakan Pengerusi CITF-A manakala Dr Mah sebelum ini bertanggungjawab mengendalikan vaksinasi untuk kumpulan itu.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 1,367,216 remaja berusia 12 hingga 17 tahun atau 43.4 peratus telah lengkap divaksin setakat semalam.

Sejumlah 2,524,156 remaja pula menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan pada 8 Sept lepas.

Bagi populasi dewasa pula, 22,084,594 individu atau 94.3 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka bagi tempoh sama manakala 97.3 peratus atau 22,792,916 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Selain itu, sebanyak 235,607 dos harian vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di bawah PICK sejak dilancarkan pada 24 Feb adalah 48,673,215, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu