Nation
358
0

Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura tertangguh

Pontian – Kerajaan negeri Johor mengakui peningkatan kes COVID-19 di negara ini sejak kebelakangan ini telah menyebabkan usaha untuk membuka semula sempadan Malaysia dan Singapura tertangguh.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata peningkatan kes itu juga melibatkan beberapa daerah serta petugas agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang turut menjalani proses kuarantin.

“Kita memang berhajat untuk membuka sempadan secepat mungkin kerana ekonomi Johor bergantung kepada negara jiran melalui peluang pekerjaan dan ekonomi rentas sempadan, itu kelebihan Johor.

“Tetapi apabila meningkatnya kes COVID-19, tertangguhlah usaha kita untuk membuka sempadan itu,” katanya ketika berucap pada Program Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Johor Kali ke-43 di Rumah Citra Sri Pinang di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya tetap berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersasar di negeri ini dan bukannya secara menyeluruh, kata beliau

Sehingga semalam, sebanyak 1,209 kes positif COVID-19 dilaporkan di Johor dengan 60 daripadanya merupakan kes baharu.

Penutupan sempadan Malaysia-Singapura pula bermula sejak 18 Mac lepas apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Langkah itu menyebabkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terjejas kerana tidak dapat berulang-alik secara harian melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Sementara itu, Hasni memaklumkan pelaksanaan program bakul makanan bagi rakyat Malaysia di Singapura akan dimulakan dalam waktu terdekat dengan menyasarkan mereka yang benar-benar terkesan akibat penutupan sempadan.

“Pada peringkat awal, kita akan menyediakan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada individu yang benar-benar terkesan.

“Inisiatif ini adalah bagi meringankan beban mereka dan juga merupakan satu bentuk penghargaan atas kegigihan mereka terus bekerja untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 semalam, Hasni berkata bakul makanan itu akan dihantar melalui badan bukan kerajaan (NGO) Southern Volunteers bersama-sama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Persatuan Malaysia-Singapura. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu