Nation
130

Pemeriksaan rawak masih dilakukan ke atas pergerakan rentas negeri : Hishammuddin

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pasukan pemantau Prosedur Operasi Standard (SOP) akan meneruskan pemantauan terhadap pergerakan rentas negeri termasuk membuat pemeriksaan rawak di jalan-jalan utama, lebuh raya pada hujung minggu, hari cuti umum dan perayaan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemantauan itu perlu memandangkan kebenaran rentas negeri itu tidak bermakna pihak berkuasa akan berlepas tangan sebaliknya akan memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

“Ini termasuklah pemeriksaan rawak di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) menerusi SJR (sekatan jalan raya) bergerak, snap check (pemeriksaan mengejut), pemantauan R&R (Rehat dan Rawat) dan SJR di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kelima Menteri Kuartet COVID-19, di Bangunan Parlimen, di sini.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi jaminan dan PDRM sudah diarahkan untuk memastikan pemeriksaan dilaksanakan secara serius dan tegas bagi memastikan rakyat kekal berdisiplin dan tidak bersikap sambil lewa dalam memanfaatkan kebenaran rentas negeri yang diberikan.

Pemantauan pihak berkuasa itu termasuk di kawasan Rehat dan Rawat, kawasan pelancongan, kediaman dan premis perniagaan yang dipercayai ada pihak yang sambil lewa membuat pemeriksaan kemasukan pengunjung.

Pemilik premis restoran, pusat membeli belah dan tempat-tempat tarikan ramai bertanggungjawab membuat pemeriksan kemasukan pelanggan bagi memastikan mereka mematui SOP seperti lengkap divaksinasi, memakai pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan.

Kebenaran rentas negeri berkuat kuasa semalam selepas kadar vaksinasi golongan dewasa di negara ini telah melepasi 90 peratus.

Pada 10 Okt PDRM melalui pasukan pemantau melakukan 417 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 211,617 kenderaan dan daripada jumlah berkenaan 560 kenderaan di arah berpatah balik kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Statistik sekatan jalan raya oleh PDRM dari 18 Mac 2020 hingga 10 Januari 2021 pula melibatkan pemeriksaan ke atas 95.2 juta kenderaan melibatkan 14,417 anggota. Bilangan kenderaan yang diarah berpatah balik sepanjang tempoh itu ialah 651,631 buah.

Mengenai kelonggaran membenarkan rakyat ke luar negara tanpa perlu melalui MyTravelPass, Hishammuddin mengingatkan, mereka masih terikat dengan garis panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mereka masih diwajibkan menjalani kuarantin sebaik pulang semula ke tanah air.

“Ini bermakna, sekalipun rentas negeri dan perjalanan ke luar negara telah dibenarkan, SOP tetap berkuat kuasa. Semua pihak masih perlu patuh kepada semua peraturan demi kebaikan diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya.

Katanya mesyuarat juga memperhalusi pelaksanaan garis panduan pengudaraan dan kualiti udara dalam premis yang dianggap penting demi mengawal penularan virus yang berada di udara.

Mengenai tarikh sebenar peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik, Hishammuddin berkata ia akan banyak bergantung kepada apa yang “berlaku” selepas beberapa kelonggaran berkenaan rentas negeri diberikan kerajaan.

Mengulas mengenai gelembung pelancongan, Hishammuddin berkata SOP seperti gelembung pelancongan ke Langkawi tidak perlu diguna pakai bagi perjalanan pelancongan dalam negara selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Mengenai senarai negara yang boleh dilawati oleh rakyat negara ini, Hishammuddin berkata terdapat keperluan untuk senarai demikian dan KKM merupakan kementerian yang bertanggungjawab menyenaraikannya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu