Nation
206

PEMERKASA : KSM puji keprihatinan PM terhadap rakyat

Kuala Lumpur, 2 Jun 2021- Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyambut baik segala usaha dan perancangan kerajaan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN, PRIHATIN PKS, PENJANA, Kita PRIHATIN, PERMAI dan PEMERKASA bagi mengurangkan impak kepada rakyat dan ekonomi negara.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, usaha yang dilaksanakan ini secara tidak langsung memberikan kelegaan kepada rakyat dalam berdepan waktu sukar susulan penularan wabak pandemik COVID- 19. Malah, usaha ini juga berupaya mengekalkan tenaga kerja dan meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keprihatinan Kerajaan terhadap sebahagian besar rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerusi pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan atau PEMERKASA Tambahan. Pakej yang bernilai RM40 billion ini bertujuan untuk terus menyuntik pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini.

PEMERKASA Tambahan menggariskan tiga (3) matlamat utama dengan tumpuan kepada 12 inisiatif strategik dan KSM secara khusus terlibat dalam matlamat kedua iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat.

Dalam membantu majikan meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja mereka sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19, pelaksanaan Program Subsidi Upah 1.0, 2.0 dan 3.0 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menyelamatkan 4.7 juta pekerja dan 498,882 majikan.

Bersandarkan kepada kejayaan ini, Kerajaan telah melanjutkan Program Subsidi Upah untuk tempoh selama satu (1) bulan lagi bagi semua sektor ekonomi yang terkesan. Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 billion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan. Program ini dijangka akan memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja dan 200,000 majikan.

Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad pula akan diberikan pengecualian levi selama satu (1) bulan pada bulan Jun 2021. Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATIH yang melibatkan 400 modul dan kursus kemahiran secara percuma.

KSM akan terus komited dalam usaha untuk memastikan inisiatif-inisiatif yang digariskan dibawah PEMERKASA Tambahan ini dapat direalisasikan dan seterusnya memberikan manfaat kepada golongan yang disasarkan.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu