Kuala Lumpur Post

Social

Pemilik agensi pekerjaan hadapi 48 tuduhan pecah amanah

IPOH — Seorang pemilik agensi mencari pekerjaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 48 pertuduhan pecah amanah berhubung bayaran Elaun Persediaan Kerja (EPK) membabitkan nilai keseluruhan RM30,000 di antara 2021 hingga Mei tahun lalu.

Tertuduh, Fauziah Mustafa, 47, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu sejurus dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu yang diamanahkan wang berkenaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu EPK, gagal menyerahkan bantuan terbabit kepada pekerja yang diambil bekerja menerusi syarikat tertuduh, FMZ Worldwide Ventures (IPO482827-K).

Perbuatan itu dilakukan di antara Januari 2021 sehingga Mei 2022 menerusi bank Maybank Cawangan Klebang, di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 405, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 406 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa, Mohd Shafiqzan Suhaimi dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, pihak pendakwa memohon mahkamah menawarkan jaminan RM48,000 iaitu RM1,000 bagi setiap pertuduhan, sementara menunggu tarikh sebutan semula bagi lantikan peguam dan penyediaan dokumen.

Tertuduh kemudiannya memohon agar kadar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan suaminya mengalami strok ringan, selain menanggung bapanya dan anak perempuan yang masih belajar.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin, selain menetapkan 2 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes itu, lapor Bernama.

Tags: , ,