Social
1K

Pemilik akaun TikTok dicari, kes video tular perarakan kematian

Butterworth – Polis sedang mengenalpasti pemilik akaun TikTok yang memaparkan video sekumpulan individu berarak mengiringi mayat di Jalan Tiram, di sini, hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet.

Ia berikutan video berdurasi 56 saat yang tular sejak pagi ini jelas menunjukkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kertas siasatan dibuka selepas menerima laporan berhubung video itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 2.30 petang, 17 Jun lalu dan video itu baru tular di media sosial sejak pagi tadi.

“Dalam video itu memaparkan sekumpulan individu sedang berarak dan sebahagiannya dilihat menari, bermain gendang dan membawa sepanduk ketika mengiringi mayat yang diusung di dalam keranda.

“Polis sedang mengenalpasti pemilik akaun Tik Tok berkenaan termasuk mengesan kumpulan individu yang berada dalam video terbabit untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan juga mendapati mayat berkenaan dibawa dari Teluk Air Tawar ke tempat pembakaran mayat di Jalan Tiram dengan menaiki kenderaan mayat, namun kumpulan itu bertindak berarak sejauh kira-kira 50 meter daripada tempat pembakaran terbabit.

“Si mati yang berusia 23 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 16 Jun lalu akibat penyakit tibi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 9 (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya. — Harian Metro

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu