Social
836

Pemilik restoran ‘Tiga Budak Gemok’ saman individu, 2 syarikat

Kuala Lumpur – Sebuah syarikat yang memiliki restoran terkenal dengan nama ‘Tiga Budak Gemok’ memfailkan saman ke atas seorang individu dan dua syarikat atas dakwaan melanggar hak cipta syarikat itu serta pendaftaran salah cap dagangan.

Tiga Budak Gemok Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 26 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Mohd Anil Ali Mohamad dan Maam Baraka Venture Sdn Bhd milik Mohd Anil dan Day Food Industry Sdn Bhd, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Syarikat itu yang mempunyai 13 cawangan restoran dikendalikan oleh tiga pengarah yang juga adik beradik iaitu Natasha Helwa Ramlee, Muhammad Rafeel dan Natalia.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan pertama (Mohd Anil) yang juga bekas suami Natasha telah membuka cawangan Tiga Budak Gemok yang ketiga di Bangi Square, Bandar Baru Bangi, namun cawangan itu telah ditutup dan beliau (Mohd Anil) membuka perniagaan di bawah jenama ‘3BG’ atau ‘3BG Ayam Kicap Sambal Power’.

Plaintif mendakwa defendan ketiga (Day Food Industry) terlibat dengan defendan pertama dan kedua (Maam Baraka Venture) dalam perniagaan 3BG apabila ‘3BG Distribution Centre’ telah berada di dalam media sosial Facebook dan Instagram yang mempromosi perniagaan 3BG serta mengajak orang awam membuka perniagaan itu.

Dakwa plaintif, pada awalnya, defendan-defendan mengguna pakai logo yang sama dengan logo plaintif dalam perniagaan itu dan sehingga kini terdapat beberapa cawangan (3BG) yang didapati masih menggunakan logo plaintif itu dalam perniagaannya.

Syarikat itu mendakwa ketiga-tiga defendan terlibat dalam pelanggaran hak cipta kerana plaintif tidak pernah menyerah hak kepada kesemua defendan untuk mengguna pakai hak cipta plaintif sama ada nama perniagaan ‘Tiga Budak Gemok’, logo atau slogan ‘Ayam Kicap Sambal Power’.

Dakwa plaintif, tindakan kesemua defendan telah mengelirukan orang awam serta gangguan perniagaan yang salah, tidak sah dan tidak adil selain ia berniat jahat dan menipu untuk mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada plaintif.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi antaranya defendan-defendan telah melakukan gangguan perdagangan yang menyalahi undang-undang apabila menjalankan suatu perniagaan yang serupa dengan perniagaan dan cap dagang ‘Tiga Budak Gemok’ dan ‘Tiga Budak Gemok Ayam Kicap Sambal Power’ milik plaintif melalui perniagaan ‘3BG’ atau ‘3BG Ayam Kicap Sambal Power’, selain menuntut ganti rugi am, teladan, faedah dan relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, dalam sidang media menerusi aplikasi Google Meet, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili plaintif berkata pihaknya dalam proses untuk menyerahkan tuntutan saman kepada ketiga-tiga defendan.

“Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Qasiratul Jannah Usmani Othman,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu