Di kala dunia berdepan dengan pandemik Covid-19, ekonomi global parah ditimpa ketidaktentuan dan terus berusaha untuk bangkit semula. Namun, selagi sesebuah negara tidak stabil politiknya, selagi itulah pemulihan semula ekonominya tidak akan berjaya.
Ini adalah pendapat Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari yang berkata ini terbukti dengan kajian dan pengalaman negara-negara membangun mengenai hubungan antara faktor pembangunan ekonomi dan kestabilan politik.
Katanya, kestabilan politik adalah penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.
Dr Mohd Yusof menerangkan bahawa pada tahun 2023 penguncupan ekonomi dunia hampir pasti berlaku dan impaknya akan dirasai sehingga tahun 2024, di mana ekonomi dunia dijangka bertumbuh pada kadar 3 peratus setahun.
“Unjuran ini bersandarkan kepada beberapa persekitaran ekonomi termasuklah pemulihan impak peperangan Rusia-Ukraine yang perlahan, tekanan inflasi yang semakin mendalam dan krisis kos sara hidup.
“Situasi yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh persekitaran ekonomi global,” katanya.
Mengungkap pembentangan Bajet 2023, beliau berkata kerajaan telah mengunjur pertumbuhan KDNK sekitar 4 peratus hingga 5 peratus untuk tahun 2023, iaitu kadar yang lebih rendah daripada pada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus pada tahun 2022.
Dr Mohd Yusof turut berkata, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan untuk tahun 2023 akan memberi cabaran kepada Malaysia dalam proses pemulihan ekonomi secara keseluruhannya, ditambah dengan persekitaran politik yang tidak menentu serta pandemik Covid-19.
Justeru, beliau berpendapat pembubaran Parlimen yang diumumkan pada 10 Oktober lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan langkah tepat untuk berdepan dengan krisis ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Beliau menegaskan ini adalah kerana perubahan kepimpinan mampu memberi persekitaran yang menggalakkan kepada pemulihan ekonomi, di samping mengurangkan risiko untuk menghadapi situasi tidak menentu itu dalam keadaan negara yang tidak bersedia kerana ketidakstabilan politik.