Nation
289

Pencapaian PPN perlukan sokongan semua pihak : PM

Putrajaya – Pencapaian Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Malaysia keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 bergantung kepada sokongan semua pihak memandangkan ia perlu pendekatan secara menyeluruh dan bukan semata-mata terletak di bahu kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Perdana Menteri berkata semua pihak termasuk kerajaan, rakyat, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain pihak mesti bekerjasama dan memberikan sokongan bagi menjayakan PPN yang merupakan strategi peralihan keluar daripada krisis kesihatan yang melanda negara sejak Mac tahun lepas.

“Kalau nak sebutkan sama ada negara tak berjaya, we are just starting (kita baharu memulakan) untuk melancarkan Pelan Pemulihan Negara dan pelan ini tak boleh selesai dalam masa seminggu, kesan tidak dapat dinilai dalam masa sebulan, ia akan mengambil masa untuk kita nilaikan.

Ia mengambil suatu masa yang panjang dan menyakitkan tetapi saya percaya dan berkeyakinan kita akan berjaya melepasi ujian ini. Berikan kerajaan peluang untuk mengatasinya,” katanya dalam wawancara khas bersama media, di sini hari ini.

PPN, yang diumumkan Muhyiddin pada 15 Jun lepas, merangkumi empat fasa yang melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Ia berpandukan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya iaitu melibatkan keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tahap populasi dilindungi dengan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Muhyiddin berkata Malaysia adalah antara negara pertama yang mengemukakan pelan pemulihan secara menyeluruh dan untuk itu, kerajaan perlu proaktif dalam menyediakan satu kerangka dan dasar yang teratur bagi memastikan negara berada di landasan yang tepat.

Menurut perdana menteri, negara kini berhadapan dengan situasi yang dinamik dengan kemunculan varian baharu dan memerlukan kerajaan untuk menguruskannya dengan pantas, sistematik dan telus.

Ia termasuk meningkatkan pemberian vaksin terutama di kawasan Lembah Klang yang 50 peratus daripada bilangan kes harian COVID-19 harian adalah dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata setakat ini lapan negeri telah memasuki Fasa Dua PPN dan menjangkakan Sarawak antara negeri terawal beralih ke Fasa Tiga memandangkan ia mempunyai tahap vaksinasi yang tinggi serta kawalan kesihatan yang baik.

Selain itu, mempertingkatkan kadar vaksinasi melalui Operasi Lonjakan Kapasiti bagi memastikan semua orang dewasa di Lembah Klang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos juga dapat melandaikan keluk jangkitan.

Menyentuh mengenai isu jangkitan COVID-19 tinggi di Lembah Klang, Muhyiddin berkata Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley telah ditubuhkan dan diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong bagi memantapkan kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang dalam mengurus pandemik COVID-19.

Muhyiddin menjelaskan penyediaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mencukupi, menghantar kes-kes bukan COVID-19 kepada hospital swasta dan mengklasifikasikan lebih banyak hospital kerajaan khusus bagi merawat COVID-19 antara langkah yang diambil oleh pasukan itu.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyalurkan penambahan perbelanjaan yang amat signifikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu lebih RM70 bilion sejak Mac 2020 untuk menguruskan pandemik terutamanya dalam meningkatkan kapasiti awam negara.

Katanya peruntukan itu adalah peningkatan tertinggi dalam sejarah Malaysia dalam jangka masa yang singkat disebabkan oleh krisis kesihatan.

“Sememangnya kita telah menderita bertahun-tahun, kurang pelaburan di dalam sistem kesihatan awam yang kerajaan ini cuba memperbetulkannya sekarang. Saya tidak menyalahkan pentadbiran sebelum ini tapi hakikatnya ialah kerana kita tidak memberikan perhatian yang lebih mendalam kepada soal isu healthcare (penjagaan kesihatan) kita dan kemudahan-kemudahan hospital.

Cantik hospital tetapi tak cukup katil, tak cukup alat-alat ICU, tak cukup ventilator, tak cukup oksigen. Semua tak cukup sebab tidak pernah berlaku dalam sejarah kita. Ini realiti, kita tidak boleh nafikan,” katanya.

Muhyiddin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan hadapan kesihatan yang sedang bertungkus-lumus bergelut dengan pandemik COVID-19 selain memohon maaf kepada semua pihak yang menghadapi ancaman wabak itu selama ini, lapor Bernama.

 

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu