Kuala Lumpur Post

Nation

Pendaftar PADU masih boleh hantar maklumat belum lengkap

KUALA LUMPUR — Individu yang telah mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (Padu) masih boleh menghantar maklumat yang belum dilengkapkan walaupun selepas tarikh tutup pendaftaran sistem tersebut.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata bagaimanapun, tarikh tutup bagi pendaftaran sistem Padu kekal hingga kelmarin.

Kepada mereka yang masih ada lagi maklumat yang mungkin tidak lepas dalam pengenalan diri (gagal pengesahan identiti), e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), pasukan Padu sedang membantu untuk memastikan mereka dapat menghantar atau melengkapkan maklumat yang diperlukan ke dalam sistem tersebut.

“Cuma yang kita telah tutup ialah bagi mereka yang tidak mendaftar langsung (dalam sistem Padu) dari tempoh 2 Jan hingga 31 Mac,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan topik “Padu: Apa Selepas Ini?” semalam.

Pendaftaran sistem Padu ditutup pada 11.59 malam 31 Mac 2024.

Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 17.65 juta atau 58.7% keseluruhan profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun berjaya dikemas kini dalam sistem Padu.

Dalam pada itu, Uzir berkata dengan adanya sistem Padu ini data rakyat akan sentiasa tersedia yang membolehkan kerajaan membuat analisis tepat ke atas mereka yang layak mendapat manfaat.

“Data dalam sistem Padu ini membolehkan kerajaan meneliti perkara seperti bagaimana kita hendak analisis supaya corak bantuan itu tidak hanya mengambil satu penilaian, satu lapis sahaja,” katanya.

Justeru, beliau berkata semua pihak terutama rakyat perlu yakin bahawa data merupakan satu alat yang penting dalam menggerakkan negara ke hadapan dan kerjasama serta sokongan semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan hasrat tersebut.