Nation
212

Pendakwaan dibenar cabar kredibiliti Rosmah

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Datin Seri Rosmah Mansor berikutan percanggahan dalam keterangannya dalam perbicaraan kes projek solar hibrid yang sedang berjalan dan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pernyataan Rosmah yang direkodkan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) digunakan untuk menyoal Rosmah mengenai keterangannya yang tidak konsisten dalam perbicaraan kes rasuah yang sedang dijalankan.

“Saya berpendapat bahawa pernyataan itu boleh diterima masuk berdasarkan Seksyen 40 AMLATFAPUAA dan dengan itu pihak pendakwaan boleh meneruskan usahanya untuk mencabar kredibiliti tertuduh.

“Saya bagaimanapun percaya bahawa peruntukan untuk mencabar kredibiliti dijalankan di bawah Seksyen 145 dan 155 Akta Keterangan 1950, dan bukannya Seksyen 72 Akta AMLA, kerana ia berkaitan dengan perbicaraan suatu kesalahan di bawah Akta, yang tidak dijalankan di sini,” kata hakim itu.

Hakim Mohamed Zaini juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas karektor isteri bekas perdana menteri itu atas pertuduhan yang dihadapinya di bawah AMLA berhubung penyata bank yang didakwa dibuat oleh Roslan Sohari ke dalam akaunnya.

“Saya berpuas hati pihak pendakwaan telah memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 54(2)(b) Akta Keterangan 1950. Bagaimanapun, saya tidak akan membenarkan sebarang persoalan ditanya mengenai fakta berkaitan kes AMLA yang dihadapi tertuduh, kecuali dia telah didakwa di bawah akta itu.

Rosmah menghadapi 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM7 juta serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kes itu juga didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini yang dijadual bermula selepas perbicaraan kes rasuah selesai.

Terdahulu, ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon kepada mahkamah untuk mencabar kredibiliti Rosmah dan menyoal balas beliau berhubung karektornya.

“Pernyataan tertuduh di bawah Seksyen 32 AMLA dapat digunakan dalam prosiding ini untuk mencanggah dan mencabar kredibiliti tertuduh dalam kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh, membantah permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Rosmah.

Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah, 69, membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini bersambung 8 Dis, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu