Nation
207

PENDAKWAAN KES AKTA STANDARD MINIMUM PERUMAHAN, PENGINAPAN DAN KEMUDAHAN PEKERJA 1990 (AKTA 446) – KSM

Putrajaya 16/3 –  Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menguatkuasakan sepenuhnya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] pindaan 2019 pada 1 September 2020.

Menurut Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, penguatkuasaan Akta 446 yang dilakukan sejak 1 September 2020 sehingga 31 Januari 2021 mencatatkan sebanyak 3,452 majikan telah diperiksa melibatkan seramai 101,726 pekerja yang terdiri daripada 11,049 pekerja tempatan dan 90,677 pekerja asing.

Hasil pemeriksaan secara berterusan ini juga telah membawa kepada pembukaan sebanyak 124 Kertas Siasatan (KS) di bawah Akta 446 yang melibatkan 59 majikan pelbagai sektor termasuklah pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Daripada jumlah 124 KS tersebut, 115 KS telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dengan 70 KS akan diteruskan dengan pendakwaan yang melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J serta Peraturan 3 dan Peraturan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Setiap kesalahan dalam kesemua pertuduhan berkenaan boleh dikenakan DENDA tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Manakala melalui Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 26 Februari 2021, kuasa tambahan telah diberikan kepada Kerajaan melalui KSM iaitu:

i. Mengeluarkan arahan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat mengganti, mengubah atau membaiki penginapan dan kemudahan yang tidak mematuhi Akta 446;

ii. Mengeluarkan arahan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk menyediakan penginapan sementara kepada pekerja bagi mana-mana penginapan yang difikirkan tidak sesuai dan tidak selamat untuk didiami oleh manusia.

Majikan dan penyedia penginapan berpusat yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan DENDA sehingga RM200,000 atau PENJARA tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 di bawah pindaan Ordinan Darurat dilaksanakan iaitu dari 26 Februari 2021 sehingga 11 Mac 2021, sebanyak 3,256 majikan telah diperiksa dan melibatkan sejumlah 17,576 penginapan. Manakala bilangan pekerja yang terlibat adalah seramai 149,634 pekerja yang terdiri daripada 142,576 pekerja asing dan 7,058 pekerja tempatan.

Dan sejak Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan, terdapat lapan (8) KS telah diberi izin kompaun.

KSM mengulangi peringatan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum lagi membuat sebarang permohonan Perakuan Penginapan supaya segera berbuat demikian demi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan yang lebih tegas di bawah Akta 446.

BERIKUT ADALAH SENARAI JENIS-JENIS PERTUDUHAN DAN KETERANGAN PERTUDUHAN YANG TERLIBAT:

(i). Seksyen 24D iaitu tiada perakuan penginapan;

(ii). Seksyen 24H iaitu bangunan penginapan tidak sesuai didiami mengikut  undang-undang pihak berkuasa tempatan;

(iii). Seksyen 24J iaitu gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina;

(iv). Peraturan 3 Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu gagal mematuhi kehendak minimum kelas bangunan bentuk dormitori bagi penyediaan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas untuk 15 orang pekerja;

(v). Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020 iaitu gagal menyediakan kemudahan asas yang tidak boleh dikongsi iaitu tidak menyediakan katil, tilam dan almari berkunci.

Setiap kesalahan di atas, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 setiap kesalahan jika disabitkan.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu