Nation
480

Pendakwaan tutup kes rasuah Zahid selepas panggil 99 saksi

Kuala Lumpur – Selepas 99 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menutup kes hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah selepas saksi pendakwaan terakhir selesai memberikan keterangan pada hari ke-53 perbicaraan.

Saksi itu ialah Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau, 44.

Terdahulu, Raja Rozela memaklumkan, pihak pendakwaan menawarkan 37 saksi kepada pihak pembelaan antaranya ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dan anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurul Hidayah.

Saksi-saksi lain termasuklah adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, ahli perniagaan, dan beberapa pegawai di Kementerian Dalam Negeri.

Pada masa sama, Hakim Sequerah turut memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Mei depan dan mengemukakan jawapan balas pada 11 Jun ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 28, 29, 30 Jun dan 1 hingga 2 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan.

Hujahan itu adalah sebelum memutuskan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu