Nation
56

Pendigitalan jadi nadi pertumbuhan ekonomi dan sosial negara : Saifuddin

Kuala Lumpur – Pendigitalan dalam pelbagai aspek kehidupan kini menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata penglibatan masyarakat dalam ekonomi digital yang dipacu pendigitalan juga memberi peluang lebih luas dalam pasaran pekerjaan.

Justeru katanya, pelbagai inisiatif termasuk aspek berkaitan digital dilaksanakan kerajaan secara berterusan untuk membantu rakyat yang terjejas.

“Tidak terkecuali turut mengambil tanggungjawab ini ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang membentuk kerjasama erat dengan agensinya Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

“Kerjasama yang dirintis ini membuahkan hasil apabila rakyat yang buntu dan terkesan berikutan serangan pandemik (COVID-19) boleh menarik nafas lega untuk meneruskan kehidupan dan aktiviti ekonomi menerusi pelbagai bantuan yang diberikan,” katanya pada majlis pelancaran program #SayaDigital peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata peperangan menentang pandemik COVID-19 memerlukan pendekatan menyeluruh pendigitalan dan ekonomi digital telah berfungsi sebagai zon penampan bagi mengurangkan kesan buruk yang ditanggung rakyat.

Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat termasuklah pemberian geran kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk mengautomasikan perniagaan supaya terus bertahan selain merancakkan sektor e-dagang dan meningkatkan kemahiran digital rakyat.

Justeru, beliau berkata program #SayaDigital yang menyasarkan keluarga kategori B40, golongan tidak berpendapatan, warga emas dan belia itu bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti tentang kemampuan digital menjadikan kehidupan lebih mudah, mengembangkan perniagaan, bantu jana pendapatan serta perkasa kerjaya masa depan.

“Bagi memastikan program #SayaDigital ini memberikan impak, modul latihan yang disediakan merangkumi beberapa peringkat.

“Menerusi program ini, masyarakat setempat yang mengambil bahagian akan menjawab Penilaian Kesediaan Digital untuk mengukur tahap literasi digital di kiosk #SayaDigital,” katanya.

Saifuddin berkata keputusan ujian berkenaan akan menentukan peringkat Modul Pembelajaran Literasi Digital Asas yang perlu dipelajari peserta. – Bernama

 

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu