Nation
168

Penduduk bantah lanjutan PKPD

Tawau –  Penduduk di Kampung Baru Pasir Putih di sini, mengadakan perhimpunan aman bagi membantah keputusan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan mereka, malam tadi.

Perhimpunan yang bermula 7.30 malam itu berlangsung secara aman dengan kehadiran serta kawalan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Tinjauan mendapati, majoriti penduduk tidak berpuas hati dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melanjutkan tempoh PKPD di lokaliti itu selama dua minggu lagi bermula esok sehingga 12 Mei depan.

Sebelum ini, Kampung Baru Pasir Putih dikenakan PKPD bermula pada 1 April hingga 14 April sebelum dilanjutkan lagi sehingga 28 April.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Awalluddin, 38, merayu supaya PKPD ditamatkan bagi membolehkan mereka keluar bekerja.

Pada masa sama katanya, tuntutan mereka wajar dipertimbangkan mengambil kira keadaan semasa selain jumlah kes yang direkodkan di kampung itu sudah mencapai tahap rendah.

“Kami tidak menafikan ada menerima bantuan bakul makanan yang disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan sumbangan wakil rakyat, namun kami juga ada tanggungan termasuk hutang bank, kereta dan lain-lain yang perlu di bayar,” katanya.

Perhimpunan selama hampir tiga jam yang dihadiri lebih 300 orang itu kemudiannya berakhir tanpa sebarang kejadian tidak diingini selepas diminta bersurai oleh pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas yang turut berada di lokasi berkata, permintaan penduduk kampung di situ akan dibawa ke Mesyuarat Khas PKOB daerah dan negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Penduduk di setiap lokaliti yang masih diisytiharkan sebagai kawasan PKPD diharap memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan ujian swab untuk mengesan individu yang positif Covid-19,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu