Social
522

Penduduk gempar temui bangkai buaya jantan

Ipoh – Penduduk Kampung Kuala Trong di Taiping digemparkan dengan penemuan bangkai seekor buaya jantan sepanjang lebih empat meter yang dianggarkan seberat 600 kilogram di Sungai Trong semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima laporan berkaitan penemuan bangkai reptilia itu hari ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

“Buaya itu dianggarkan sudah mati sejak dua atau tiga hari lepas. Hasil penelitian awal, buaya itu mati dipercayai disebabkan faktor umur dan didapati semua gigi buaya telah tiada atau luruh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Bagaimanapun beliau berkata doktor veterinar jabatan itu akan melakukan proses bedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian.

Katanya bangkai buaya itu telah dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan lanjut.

Yusoff berkata untuk rekod, pihaknya tidak pernah menerima aduan berkaitan kewujudan buaya di kawasan itu sebelum ini dan ia dipercayai telah mudik ke sungai berkenaan kerana tidak boleh meneruskan kehidupan disebabkan faktor usia.

“Pihak Perhilitan Perak menasihatkan agar orang ramai jangan bertindak sendiri kerana ia boleh mengundang salah faham atau membahayakan nyawa mereka.

Sekiranya ada perkara berkaitan hidupan liar mereka diminta melaporkan kepada Jabatan Perhilitan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu