Social
511

Penerbit filem ‘Babi’ mengaku tak bersalah

Petaling Jaya – Seorang penerbit filem didakwa atas pertuduhan menerbitkan sebuah filem kontroversi berjudul ‘Babi’ pada 18 November 2020 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini.

Tertuduh, Toh Han Boon, 35, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Tertuduh didakwa mengambil bahagian dalam aktiviti mengeluarkan filem dan mempamerkan poster tanpa lesen yang sah daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 (Akta 244- pindaan 2013) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Haijan Omar membantah syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan kerana menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

“Saya juga memohon supaya mahkamah memberikan ikat jamin pada kadar rendah memandangkan pandemik COVID-19 ketika ini menyebabkan pendapatan anak guam saya terjejas,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu