Nation
174

Penerima 2 dos vaksin Covid-19 tunjuk antibodi tinggi

London – Kumpulan penyelidik memaklumkan penerima vaksin COVID-19 Pfizer di England yang sudah menerima dua dos suntikan menunjukkan tindak balas antibodi yang kuat, sekali gus memberi keyakinan amat tinggi terhadap keberkesanan vaksin itu.

Kajian Imperial College London menunjukkan 87.9 peratus individu berusia lebih 80 tahun diuji positif antibodi selepas menerima dua dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Jumlah itu meningkat kepada 95.5 peratus bagi penerima vaksin berusia di bawah 60 tahun, dan 100 peratus bagi mereka yang berusia di bawah 30 tahun.

Tahap antibodi adalah sebahagian daripada imuniti, di samping vaksin itu juga dikesan turut menghasilkan perlindungan sel T yang kuat.

“Walaupun terdapat penurunan kadar positif dengan pertambahan usia, kita mendapat maklum balas yang bagus untuk dua dos vaksin bagi semua lapisan umur,” kata Pengerusi Fakulti Epidemiologi dan Perubatan Kesihatan Awam Imperial College London, Paul Elliott, kepada wartawan.

Kajian itu turut menunjukkan 95 peratus penerima vaksin berusia di bawah 30 tahun didapati positif antibodi 21 hari selepas dos pertama, namun kadar itu menurun dalam kalangan penerima lebih berusia.

Selain itu, 34.7 peratus daripada penerima vaksin berusia 80 tahun ke atas menunjukkan tindak balas antibodi daripada satu dos vaksin Pfizer.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi Britain (JCVI) sebelum ini mendapati perlindungan yang tinggi daripada satu dos vaksin Pfizer, walaupun kadar antibodi adalah rendah.

Kajian pemantauan di rumah bagi antibodi COVID-19 oleh Imperial College London itu membabitkan 154,000 peserta, dengan memantau tahap antibodi daripada jangkitan semula jadi serta dalam kalangan penerima vaksin, antara 26 Januari hingga 8 Februari lalu.

Kajian sama turut meneliti keyakinan terhadap vaksin berkenaan, yang mendapati 92 peratus menerima atau merancang untuk menerima tawaran vaksin, namun kadar itu menurun kepada 72.5 peratus dalam kalangan individu kulit hitam. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu