Social
216

Peneroka maut akibat terkena tembakan

Kuantan – Seorang peneroka maut dipercayai akibat terkena tembakan di dada dalam kejadian di ladang kelapa sawit di Felda Bukit Sagu 4 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Mohamad Omar, 67, dari Felda Bukit Sagu di sini turut cedera di tapak tangan kanan dan polis menemukan selaras senapang buatan sendiri di lokasi kejadian.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 4.22 petang oleh kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Goh di sini, selepas Mohamad dibawa ke klinik itu oleh isteri dan rakan lelaki Mohamad.

“Siasatan awal mendapati peneroka itu telah keluar untuk mengait kelapa sawit kira-kira 10 pagi tadi sebelum dikatakan menghubungi isterinya pada 3.36 petang memaklumkan dirinya telah ditembak.

“Isteri Mohamad mendakwa telah menghubungi rakan baik Mohamad untuk membantu mencari suaminya itu dan kemudian menemukan suaminya dalam keadaan parah sebelum doktor mengesahkan kematian suaminya pada 4.20 petang,” katanya yang dihubungi.

Wan Mohd Zahari berkata mayat Mohamad dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, anak perempuan Mohamad, Noraini, 42, yang ditemui di klinik kesihatan itu berkata dia dihubungi ibunya kira-kira 4 petang yang memintanya segera ke klinik kesihatan itu kerana sesuatu telah menimpa ayahnya.

“Kali terakhir saya bertemu ayah ialah pada dua minggu lepas. Walaupun saya tinggal di Jabor (Kuantan), namun saya tidak dapat pulang ke rumah kerana kerap ke hospital bagi menemani suami menjalani rawatan susulan akibat kemalangan,” katanya.

Noraini berkata jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Sagu 3 selepas semua urusan selesai, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu