Social
149

Penganggur didakwa bunuh abang ipar

Jasin – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin, di sini, hari ini, terhadap tuduhan membunuh bekas abang iparnya dalam kejadian pagi 1 Syawal lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Amin Mohamad, 32, sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hanafiah Hanafi, 36, dalam kejadian di Jalan Solok Berangan Enam, Umbai, antara jam 7 hingga 7.30 pagi 13 Mei lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao manakala tertuduh diwakili peguam, Mohan Singh.

Sementara itu, tertuduh turut berdepan dengan empat lagi pertuduhan masing-masing dua di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa memukul Mah Azrul Mah Hussin, 39, dengan menggunakan tangan di bahagian kepala dan muka beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan patah rahang kanan dalam kejadian di lokasi sama pada jam 11.55 malam pada 11 Mei 2021.

Satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A pula, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Hashimah Hanafi, 32, yang ketika itu masih isterinya dengan menggunakan rotan dalam kejadian di Permatang Pasir Alai kira- kira jam 5 petang pada 15 Disember 2020.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas dua anak perempuannya yang berusia lapan dan 10 dan menggunakan rotan dalam kejadian di Permatang Pasir Alai pada jam 5 petang pada 15 Disember 2020.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah terhada empat pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa bunuh di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pagi 13 Mei, didakwa pernah beberapa kali bertengkar dengan bekas adik iparnya yang juga suspek kes terbabit, sejak tiga hari sebelum kejadian.

Pertengkaran dikatakan mempunyai kaitan dengan perebutan dua anak suspek hasil perkahwinan dengan adik perempuan mangsa sebelum pasangan itu bercerai awal tahun ini. – BH Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu