Social
155

Penganggur didakwa bunuh ibu kandung

Maran – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya, minggu lalu.

Tertuduh Mohd Fairul Ahmadiah, 39, dari Chenor di sini mengangguk faham terhadap pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh ibunya Meriani Ismail, 55, di rumah mereka di Kampung Pesagi, Chenor antara pukul 1.30 pagi hingga 2.10 pagi 29 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Anasuha Atiqah Mat Saidi memaklumkan tertuduh berkemungkinan mempunyai masalah mental, berikutan didakwa berhalusinasi semasa kejadian.

Berikutan itu Nur Syafiqah mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan mental, dan menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan penilaian kesihatan tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa ditemukan maut dipercayai akibat ditetak menggunakan parang oleh anaknya yang baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac lalu.

Pemeriksaan luaran fizikal mangsa juga mendapati terdapat luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan.

Di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah methaphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Maran sekitar 9 pagi pada 29 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, selain pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

Majistret menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan semula kes untuk menunggu laporan makmal tertuduh. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu