Social
198

Penganggur didakwa bunuh ibu

Kuala Selangor – Seorang lelaki yang dipercayai telah memenggal kepala ibunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, pertengahan bulan ini.

Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, yang merupakan penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan forensik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mohamed Azam didakwa membunuh Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi hingga 6.08 petang pada 15 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon manakala tertuduh diwakili peguam Naim Mahmud.

Terdahulu, Naim memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.

Roslizi berkata permohonan tersebut perlu dibuat di Mahkamah Tinggi apabila kes tersebut dipindahkan ke mahkamah itu.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di sebuah rumah dan polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu.

Laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu